Friday, January 27, 2012

Haiwan Asia












Wednesday, January 25, 2012

Alat Mainan Boleh Menyebabkan Kanser



KUALA LUMPUR – Kebanyakan alat mainan memang nampak menarik, tetapi awas! ada yang mungkin boleh mengundang bahaya kepada anak anda. Ia mungkin bahaya mudah tertelan dan juga boleh menjadi penyebab kanser.
Kesedaran masyarakat negara ini terhadap keselamatan alat mainan kanak-kanak, masih di tahap rendah.
Ini dapat dilihat apabila masih ramai pengguna membeli alat mainan berdasarkan rupanya yang cantik dan bentuk yang canggih, warna dan juga mengikut trend semasa.
Bagi mereka, alat mainan kanak-kanak adalah medium hiburan serta penjanaan kepada daya imaginasi anak kecil dan tidak mungkin ia boleh mendatangkan bahaya.
Walhal sudah pelbagai kemalangan dan bahaya kesihatan yang berpunca daripada alat mainan kanak-kanak dilaporkan dalam media, khususnya antarabangsa, namun masih ramai yang memandang ringan.
Mereka masih tidak peduli walaupun berita berhubung rampasan dan penarikan balik alat mainan kanak-kanak yang tidak selamat turut tersebar luas di media seperti apa yang berlaku di Victoria, Australia, sebelum sambutan Hari Natal yang lalu.
Dilaporkan, lebih 10,000 alat mainan kanak-kanak yang tidak selamat dirampas dan dimusnahkan di Victoria.
Dimensi baru
Senario kurangnya kesedaran masyarakat mengenai kepentingan isu keselamatan alat mainan kanak-kanak, berkemungkinan disebabkan negara baru sahaja menguatkuasakan Peraturan Standard Keselamatan Bagi Mainan Kanak-Kanak, berbanding negara maju.
Dengan adanya peraturan ini, yang dikuatkuasakan bermula 1 Ogos 2010, sedikit sebanyak akan menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan keselamatan alat mainan.
Melalui penguatkuasaan ini, semua alat mainan yang dikeluarkan syarikat tempatan atau luar negara diwajibkan menjalani proses penilaian dan pengujian sebelum diletakkan tanda Malaysian Conformity (MC).
Menerusi peraturan berkaitan, pengilang, pengimport dan pembungkus semula alat mainan perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan ia selamat dibekalkan dan dijual di Malaysia.
Dalam erti kata lain, semua syarikat yang terlibat dalam aktiviti pembekalan dan penjualan alat mainan kanak-kanak di Malaysia mempunyai tanggungjawab masing-masing bagi mematuhi peraturan ini.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menggerakkan usaha bersepadu dengan melancarkan pelbagai kempen kesedaran menerusi pelbagai media.
Boleh dikatakan keberkesanan kempen yang ditujukan khusus kepada pengguna itu berjaya berdasarkan tinjauan Bernama baru-baru ini.
Pekerja Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Nur Izza Osman berkata tidak terlintas pada pemikirannya alat mainan yang rendah kualiti boleh mengundang bahaya kepada kanak-kanak.
“Saya mengetahui tanda MC selepas menonton iklan berkenaan di TV (televisyen) baru-baru ini. Sebelum ini, saya membeli alat mainan berdasarkan kepada tarikan fizikal berbanding melihatnya (alat mainan) mempunyai tanda MC,” katanya.
Memudaratkan kesihatan
Pelbagai bahan yang digunakan untuk membuat alat mainan kanak-kanak termasuk bahan kimia, yang didapati berupaya memudaratkan kesihatan kanak-kanak.
Ini ditambah pula dengan sifat semula jadi kanak-kanak yang suka menghisap.
Menjadi masalah, apabila mereka menghisap sesuatu alat mainan yang mengandungi bahan kimia lebih daripada sepatutnya.
Ini secara tidak langsung, mendedahkan kanak-kanak kepada risiko pertumbuhan sel kanser, kata Ketua Farmasi, Jabatan Farmasi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Amrahi Buang.
“Sebagai contoh plumbum (fungsi plumbum dalam cat untuk menjadikan warna terang dan tidak pudar) boleh meresap masuk ke dalam badan, apabila kanak-kanak bermain dengan alat mainan atau menghisapnya, dan ia menjadi terkumpul.
“Dicampur pula dengan apa yang dimakan semasa proses pembesaran anak-anak itu, ada risiko bagi mereka terdedah kepada kanser.”
Kimia seumpama itu juga boleh mendedahkan kanak-kanak kepada penyakit paru-paru, gangguan sistem saraf, alergik dan pelbagai lagi.
Bahaya lain
Keselamatan alat mainan juga meliputi pemilihan bahan, rupa bentuk, saiz dan bunyi alat itu.
Mengulas lanjut, Ketua Pegawai Eksekutif/Setiausaha Persatuan Pengguna-Pengguna Standard Malaysia (Standard Users) Ratna Devi Nadarajan berkata adalah penting bagi ibu bapa mengetahui label peringkat umur pada sesuatu alat mainan sebelum membelinya.
Ini kerana, membeli alat mainan yang tidak sesuai dengan peringkat umur secara tidak langsung boleh mendedahkan kanak-kanak kepada kecederaan termasuk bahaya tercekik.
Berdasarkan laporan kajian tahunan ‘The 2011 Trouble in Toyland’ oleh U.S.
Federation of State Public Interest Research Groups (PIRGs), tercekik akibat tertelan bahagian mainan kecil, contohnya guli, terus menjadi punca utama
kematian dan kecederaan dalam kalangan kanak-kanak.
Kajian itu melaporkan seramai 200 kanak-kanak mati akibat tercekik antara tahun 1990 sehingga 2010.
“Alat mainan yang kurang mutu (tidak mempunyai tanda MC) seperti teddy bear akan terdedah kepada bulu, butang senang tertanggal dan ini berbahaya apabila kanak-kanak ini memasukkannya ke dalam mulut.
“Lebih berbahaya apabila membeli alat mainan elektrik yang berkemungkinan boleh meletup,” katanya.
Elakkan diri ditipu
Biarpun Peraturan Standard Keselamatan Bagi Mainan Kanak-Kanak dikuatkuasakan sejak 1 Ogos 2010, ia dibuat secara berperingkat berikutan masih terdapat penggiat industri berkenaan kurang maklum akan keperluan peraturan yang dilaksanakan.
Bagaimanapun, semua alat mainan yang tidak mempunyai tanda MC akan diambil tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pelindungan Pengguna 1999 bermula tahun ini, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dasar dan Standard Kepenggunaan, KPDNKK, Rashinah Abdul Hamid memberitahu Bernama.
“Kementerian sudah lama berunding dengan industri, sejak tahun 2008 mengenai keperluan mempunyai tanda MC. Ini kerana, bukan semua (penggiat) membaca akhbar dan menonton berita, jadi apabila ditanya sama ada mereka tahu atau tidak mengenai MC, segolongan mereka mengatakan ‘tidak’.
“Disebabkan itulah kami buat secara berfasa, tempoh masa peralihan diberikan dan ketika ini KPDNKK melakukan penguatkuasaan berhemah, di mana sebanyak 59,964 premis seluruh negara diperiksa,” katanya.
Mengulas mengenai kemungkinan terdapatnya label ‘MC’ tiruan, Rashinah memberi dua tips berguna. Pertama, pastikan warna abjad MC itu adalah sama ada hitam atau putih.
Berikutnya, pastikan terdapat nombor pendaftaran di bawah logo MC dan alamat pengilang, pengimport ataupun pembungkus semula ada tertera di bungkusan alat mainan kanak-kanak berkenaan.
Sebagai pengguna, mereka tidak sewajarnya mengandaikan semua barang yang terdapat di rak adalah selamat. Mentaliti sedemikian seharusnya diubah apatah lagi apabila membabitkan perkara yang berkaitan dengan kanak-kanak.
Kanak-kanak belum dapat mengenal dan membezakan mana yang selamat dan sebaliknya. Di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranan bagi memastikan anak-anak mereka dilindungi daripada ancaman yang tidak dijangka! – Bernama

Sunday, January 15, 2012

Saturday, January 14, 2012

Wonderful view